Translate

Thursday, February 1, 2018

NAJIB PEMIMPIN TRANSFORMATIF MULTIKULTURALIS


Salleh Said Keruak

1. Sejarah telah menunjukkan ramai pemimpin dunia yang kecundang ketika sedang melakukan perubahan. Gorbachev gagal apabila memperkenalkan Glasnost dan Perestroika, Habibie ditolak oleh partinya apabila mereformasikan birokrasi dan tenteranya, malah DS Anwar Ibrahim yang berhajat membawa pembaharuan dalam kerajaan BN telah dipecat dan dipenjara oleh mentor politiknya sendiri. Ini menunjukkan menjadi pemimpin transformatif tidak mudah, apatah lagi perubahan yang dibawa itu adalah di negara yang majmuk masyarakatnya.

2. Namun, tidak bagi Najib Razak.  Walaupun melakukan banyak perubahan, beliau masih kekal menjadi PM sehingga sekarang. Ini kerana kepimpinan transformatifnya yang multikulturalis--¬bebas perkauman, bersifat demokratik dan “people-centric.” Hasilnya, rakyat Malaysia hari ini bukan sahaja mengecapi kemakmuran ekonomi, tetapi juga menikmati kebebasan bersuara. Tiada tahanan dikenakan terhadap rakyat yang mengkritik beliau dan isterinya, menteri-menteri kabinetnya, dan partinya di media sosial dan di demonstrasi jalanan. Malah, tiada juga tangkapan seperti Operasi Lalang ke atas pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil yang tanpa henti mengkritik, menyebar fitnah dan menularkan berita palsu terhadap pemerintahan beliau.

3. Sesungguhnya kejayaan Najib menerajui kerajaan BN ini banyak: menjadikan Malaysia demokratik, menegakkan kedaulatan rakyat, mengagihkan peluang ekonomi secara saksama, mewujudkan pentadbiran yang berkebajikan, dan melaksanakan pemerintahan Islam yang moderat. Memandang ke depan, sewajarnya kita bersyukur kerana dipimpin oleh Najib Razak, pemimpin yang transformatif dan multikulturalis.

No comments: